Monday, 22 July 2013



Gua Niah

Gua Niah merupakan sebuah gua yang terbesar di Malaysia dan penuh dengan sejarah. Ia juga merupakan antara gua batu kapur yang terbesar di dunia. Terletak kira-kira 90 kilometer atau 1 1/2 jam dari Miri, Sarawak, gua ini menunjukkan bukti kehidupan awal manusia di daerah ini.
Gua Niah juga merupakan salah satu gua tertua di dunia dan telah diwartakan sebagai tapak bersejarah di bawah kuasa Muzium Sarawak. Gua Niah terbentuk sebagai terumbu karang pada akhir Miocene sebelum pergerakan bumi yang mengangkatnya dan dihakis membentuk gua. Gua Niah seluas 12 hektar dan kawasan dalam gua dianggarkan tiga kali padang bola sepak. Selain pintu masuk utama Gua Niah, terdapat 5 bukaan lain dengan kamar dibelakangnya. Ia dikenali sebagai Mulut Besar, Lubang Tulang, Lubang Hangus, Gan Kira dan Lubang Tahi Menimbun.




Tebaloi

Tebaloi merupakan sejenis biskut sagu yang merupakan sejenis makanan tradisional masyarakat Melanau. Bahan utama tebaloi ialah sagu. Makanan ini banyak dieksport keluar negara dan merupakan salah satu makanan tradisional Sarawak yang mempunyai permintaan tinggi. 






Laksa Sarawak

Laksa Sarawak 100% berbeza daripada laksa-laksa di semenanjung baik dari segi 'mee' yang digunakan dan kuahnya. Laksa Sarawak, walaupun kuahnya nampak seperti kari, tetapi sebenarnya bukanlah seperti rasa mee kari. Laksa Sarawak rasa lemak, dan dicampur dengan daging ayam rebus yang dicarik-carik, tauge rebus separuh masak, udang rebus, hirisan telur goreng, dan beberapa bahan lain. Semasa dihidangkan, laksa Sarawak dihidang bersama dengan sambal belacan dan limau kasturi. 





Kaum Melanau

Dahulunya,sama seperti kaum Iban, kaum Melanau juga tinggal di dalam rumah panjang (yang dibina dengan tinggi). Namun, masyarakat Melanau pada masa kini telah mengubah cara hidup mereka dengan tinggal di dalam rumah kampung yang mengikut corak orang Melayu. Kebanyakannya dibina di tepi sungai dan berdekatan dengan pantai. Masyarakat Melanau yang bukan beragama Islam atau Kristian mempercayai makhluk ghaib yang dipanggil Ipok. Suku etnik Melanau berkumpul di persisiran pantai seperti kawasan lembah utara Sungai Rajang, Igan, Mukah, Dalat, Oya, Matu, Daro, dan Bintulu. Masyarakat yang terawal di Sarawak menetap di Mukah. 






Kaum Iban

Kaum Iban dahulu dikenali sebagai Dayak Laut. Kaum Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sarawak. Mereka mendiami daerah dan bahagian negeri Sarawak dari daerah Lundu di barat dan Limbang di timur laut, tetapi kepadatan penduduk Iban adalah di bahagian Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, dan Miri. Kebanyakan kaum Iban tinggal berkampung di rumah panjang yang kebiasaannya terletak di tebing sungai dan di tepi jalan raya. Ini adalah bagi mempermudahkan aktiviti kerja, berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain. Amalan cara hidup yang diamalkan adalah berlandaskan hukum adat, pantang larang, tolak ansur, dan berteraskan perhubungan persaudaraan yang erat antara satu sama lain. Kebanyakan masyarakat iban pada hari ini menerima agama Kristian sebagai pegangan, tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan nilai adat resam dan ciri-ciri kebudayaan yang menjadi lambang tradisi masyarakat iban.





Pesta Kaul

Pesta Kaul adalah perayaan tradisi yang diraikan oleh kaum Melanau yang tinggal di sepanjang pantai Sarawak. Pada masa lalu, Kaul dilihat sebagai satu majlis keagamaan untuk menenangkan roh-roh laut, tanah, hutan, dan ladang yang menjadikannya sebagai perayaan yang paling penting dalam tahun kaum Melanau Pagan. Ia adalah upacara penyucian dan kesyukuran serta salah satu restu untuk memperoleh kedamaian serta nasib yang baik dalam menjalani kehidupan seharian. Ia diadakan pada permulaan dalam kalender kaum Melanau Pagan yang menandakan musim tengkujuh telah berlalu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka sebagai petani dan nelayan. 





Gawai Dayak

Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut di Sarawak oleh kaum pribumi Sarawak, terutamanya Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah. Gawai Dayak merupakan hari menyambut tahun baru yang ditandakan dengan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baru. Gawai Dayak adalah musim perayaan yang berlangsung selama lebih kurang sebulan yang bermula dari hujung bulan Mei sehingga akhir bulan Jun setiap tahun bagi masyarakat Dayak. Mereka mempunyai beberapa upacara besar yang dijalankan di rumah panjang dan bandar. Hari pertama perayaan jatuh pada 31hb Mei dan hari kedua pada 1hb Jun setiap tahun dan akan tamat secara rasmi dengan upacara penutupan pada akhir bulan Jun yang dipanggil menggulung tikar. 







Sarawak

Negeri Sarawak dikenali dengan gelaran Bumi Kenyalang merupakan salah satu daripada 14 negeri dalam Malaysia. Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia. Sarawak mempunyai 11 bahagian keseluruhannya iaitu Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Kota Samarahan, Bintulu, Mukah, dan Betong. Bandar-bandar utama di negeri Sarawak adalah Kuching (pop. 700 000), Miri (pop. 358 000), Sibu (257 000), Bintulu (200 000), Sarikei (pop. 56 798), Sri Aman (pop. 64 905), dan Limbang (pop. 40 959). Kini, Sarawak mempunyai dua buah bandar raya utama, iaitu Kuching dan Miri. Kuching telah diisytiharkan sebagai bandar raya pada 1 Ogos 1988 manakala Miri mendapat status bandar raya pada 20 Mei 2005. 


Peta Sarawak dan Lambang Sarawak





AsSalamualaikum dan salam 1 Malaysia kepada pengunjung blog ini . . .
Salam Ramadhan dan selamat berpuasa. 
( ^_^ )